Monday, August 24, 2015

Barangkali

Kurang dua minggu lagi aku akan kembali ke tempat pengajian. Aku akan menempuh hari yang sangat baru namun bukanlah asing bagiku.

"Akak, saya 'kantoi' posting A dan posting B"
"Ish, jangan cakap macam tu. Bukan kantoi, tapi kita diuji"

Dalam.

Aku benar-benar terkesan. Kata-katanya yang bersahaja, namun cukup mendalam untuk membuatkan aku kembali muhasabah diri.

Aku masih ingat. Kali pertama aku dipertemukan dengannya. Surau merah hospital. Kami berkenalan di situ. Comel orangnya, manis senyuman nya, ayu tingkah lakunya. Barangkali, sejuk tiap mata yang memandangnya.
Akak merupakan salah seorang senior tahun akhir kami. Alhamdulillah, kini sudahpun mendapat gelaran doktor. Semoga Allah permudahkan segala urusan untuk akak. Setiap kali kami duduk 'bersantai' sambil belajar bersama-sama, akak akan ambil kesempatan untuk mengingatkan kami terutamanya tentang tanggungjawab sebagai pelajar. Seringkali kami bertukar tukar kata-kata semangat. Dan tiap tiap kali itu jugalah akak tak pernah lupa mengingatkan kami tentang pentingnya untuk berdoa dan tawakal.

***

Aku memperoleh keputusan peperiksaan yang mengecewakan di akhir tahun 4 baru baru ini. Aku terpaksa mengulang untuk satu tahun lagi gara gara gagal dalam 3 posting major.
Alhamdulillah. Syukur. Aku yang dipilih kali ini untuk diuji.

Aku mahu berkongsi rasa kecewa. Kecewa dengan diri sendiri yang tidak competant.
Rasa sedih. Lebih-lebih lagi memikirkan cara untuk aku sampaikan berita ini kepada emak dan abah yang menunggu aku di rumah. Kerana aku tahu. Mereka meletakkan harapan yang tinggi kepadaku.
Malu dengan sahabat-sahabat. Sedang yang lain sudah memulakan satu langkah ke hadapan, aku pula tidak berganjak dari tempat yang sama.
Dan aku menangis.
Bagaimana mungkin aku mahu menyalahkan takdir. Padahal aku hamba yang lemah dan banyak melakukan dosa. Moga Allah ampunkan dosaku.

***

 "Ingat, akak sentiasa ada untuk fikah, 
  Allah langsung tak tinggalkan fikah."

Tenang. Memang sebetulnya itu fitrah hamba. Sedalam apapun rasa sedih dan kecewa hamba. Hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.

Pulang berhari raya dengan hati yang gundah dan gulana. Bercampur baur. Namun aku gagahkan jua untuk terus tersenyum. Supaya aku terus positif. Bagaimana aku dapat merasai manisnya kejayaan sebelum aku merasai peritnya kegagalan. Alhamdulillah. Syukurlah. Kerana dengan bersyukur, dapat melahirkan redha.

Selepas keputusan rasmi dikeluarkan, tak putus putus sahabat yang lain memberikan kata-kata semangat kepadaku.
Ada yang mengingatkan aku kepada Allah yang Maha Baik. Ada yang sudi memberikan aku bahu untuk aku menangis. Ada juga yang turut sama merasai kesedihanku.
Semoga Allah memberkati sahabat-sahabatku ini. Dan Allah jualah yang dapat membalas jasa mereka.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan" (Surah Ar-Rahman[55])

Betullah kak, Allah tak pernah tinggalkan aku!

***

Aku tidak mahu terus menjadi orang yang gagal dari ujian Tuhannya. Aku yakin, pasti ada hikmah. Moga moga ujian ini menjadikan aku lebih dekat kepada Nya. Moga moga hati ini lebih cinta.
Mungkin aku pernah meninggi diri. Mungkin aku semakin jauh dari Nya, Mungkin juga aku terlalu berdosa. Lalu Allah berikan peringatan kepadaku.
Mungkin aku masih belum cukup matang untuk melangkah lebih jauh. Mungkin aku perlukan persediaan yang lebih. Mungkin aku perlukan lebih masa untuk membina konfiden diri.

Ahh..terlalu banyak kemungkinan.
Ya. Ini peluang untuk aku membaiki kelemahan diri.
Dan apa yang penting. Aku yakin. Allah tidak akan tinggalkan aku. Allah punyai perancangan yang lebih baik untuk diriku.
Dan aku tidak mahu. Terus terus jatuh dalam lembah kegelapan yang aku ciptakan sendiri.
Aku harus bangkit dan aku tidak akan berundur. Aku tak mahu mengalah. Aku mahu berubah dan aku ingin menjadi lebih baik.
Jerit hati kecilku.



Tiada daya hamba tanpa pertolongan dan kekuatan daripada Nya!
Mohon doakan. Untuk kebaikan aku dan kebaikan dirimu. :)